Sunday, December 12, 2010

biarkan

kau pergi begitu sahaja
meninggalkan aku terpinga-pinga
seperti orang buta
aku meraba mencari cahaya

kau diam tanpa berita
membuatkan aku tertanya-tanya
apakah kau dalam bahaya
atau dalam bahagia

kau biarkan aku
membisu dan terus membisu
apakah salah jika aku memburu
kebenaran andai ia milikku

Thursday, December 9, 2010

sejak aku mengenalmu

taken from penyair

Sejak aku mengenalimu
kuntum – kuntum bunga
di laman hati
beraroma dengan wangi
menjinakkan kegusaran
yang bertahun – tahun
hidup di rimba keharuan.

Aku ingin mengenali
seluruh daerah hatimu
ingin meneroka jalan
tanpa simpang dan liku
kerana di situ hatiku
akan bermukim
sehingga tamat
seluruh musim.

Sejak mengenalimu
semua pintu mula kubuka
agar kau yang pertama
sudi memasukinya
dan aku sudah
menyusun berhias
mesramu di setiap
ruang dan bahagian
agar lebih akrab
saling sayang menyayang
dengan kepercayaan.

Sejak mengenalimu
kudepa seluas langit
agar kau bisa
rasa dengup jantungku
yang tak pernah berhenti
dengan berharap.

Terima kasih..
rela aku mengenalimu.

~Moktha~
26 September 2010

Sajak : Sejak Aku Mengenalmu

Sunday, December 5, 2010

membaca dirimu

tanpa ketuk menyerbu pintu
dan salam meluru di bibir
setiap hari aku berkunjung
ke petak sempit di mata
tapi luas di kampung makna

saat ghairah kau punggah huruf
dari khutub khanah diri
ke ruang terbuka itu
khusyuk aku mentafsir makna
dalam diam aku membaca dirimu
yang bersembunyi
di balik huruf-huruf
yang kau sangka mati
tapi sentiasa hidup dalam fikirku

ruang sempit itu kelas terbuka
akulah pelajar yang dahaga
tanpa pintu dan jendela
aku bebas keluar dan masuk
menghirup didih sukmamu

shahrunizam abdul talib
bera, pahang
mingguan malaysia, 5 disember 2010

dari hati untuk hati

bunga selasih bunga melati
menjadi pujaan teruna dara
kita berkasih kerana hati
moga berkekalan hingga akhirnya

terbang tinggi si layang-layang
hinggap sebentar di pohon sena
kalau cemburu tanda sayang
kalau benci apa tandanya

inginku petik bulan dan bintang
untuk dianyam buat sang puteri
biar beribu batu kita terhalang
jauh di mata dekat di hati

lenggang-lenggok tari melayu
memikat hati sang arjuna
siang malam ku merindu
mengharap kasih dalam lena

Monday, November 29, 2010

bahagia atau sengsara?

bahagia atau sengsara
mana satu pilihan hati
bahagiakah
atau sengsarakah

bahagiakah anda melihat kemusnahan
bahagiakah anda melihat kekejaman
bahagiakah anda melihat penindasan
bahagiakah anda melihat ketidakadilan

atau

sengsarakah anda melihat kejayaannya
sengsarakah anda melihat kekayaannya
sengsarakah anda melihat kenikmatannya
sengsarakah anda melihat kesenangannya

pilihan di tangan anda

Friday, November 26, 2010

bila aku rindu

rindu aku rindu kamu
tidak bersua tidak bertemu
menahan rasa menahan rindu
perlu kamu mahu kamu

Monday, November 22, 2010

pagi kita sama

sudah lama rasanya
tidak memilik pagi yang sama
sebelum ini
paginya lebih awal
segalanya awal di sana
dan kerana itulah
aku senantiasa ketinggalan
sama tertinggal atau meninggalkan
tiada beza
tapi hari ini sungguh berbeda
aku pagi kau juga pagi
aku ceria kau juga ceria
sungguh aneh
tapi aku gembira
sekurang-kurangnya
keanehan itu anugerahnya untuk kita
bukan masa untuk menilai
tetapi masa untuk menghayati
Related Posts with Thumbnails